Assalamualaikum wbt. Tak payahlah kita tengok masyarakat Islam secara keseluruhan cukup sekadar umat Islam yang berdekatan dengan kita atau masyarakat pergaulan seharian kita, sifat-sifat terkeji seperti Riya’ dan Ujub ni memang dah lama wujud. Yang paling aku sedih ialah ramai diantara mereka yang bersifat seperti KETAM YANG MENGAJAR ANAKNYA BERJALAN LURUS TETAPI DIA SENDIRI TAK BETUL!. Kononnya tinggi ilmu agama tetapi IBARAT TIN KOSONG YANG KUAT BUNYINYA BILA DIKETUK TETAPI DIDALAM TAK ADA APA-APA. Aku amat mengerti golongan yang Riya’ dan Ujub ini kerana aku dah biasa bergaul dengan mereka sejak dari dahulu hinggalah sekarang mungkin baru hari ini aku mengerti hikmah disebaliknya.
Aku sebagai hamba yang sentiasa lemah dan sentiasa mengharap rahmat Alah swt juga tak pernah lari dari sifat Riya’ dan Ujub ini. Sebagai pedoman kita semua sila hayati petikan dari ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw yang menjadi pegangan aku selama ini:
“Wahai anak Adam, berapa banyak pelita yang telah dipadamkan oleh hembusan angin.
Berapa ramai AHLI IBADAH yang telah dirosakkan oleh UJUB. Ramai ORANG KAYA yang dirosakkan oleh KEKAYAANnya. Ramai ORANG yang SIHAT dirosakkan oleh KESIHATANnya. Ramai ORANG ALIM dirosakkan oleh ILMUNYA. Ramai ORANG JAHIL yang dirosakkan KEJAHILANnya.
Kalaulah tidak kerana orang tua yang bongkok, pemuda yang khusyuk, bayi yang menyusu dan binatang yang sihat, nescaya akan KUjadikan langit itu daripada besi, bumi itu kering dan tanahnya daripada abu. AKU tidak akan turunkan hujan walau setitik, tidak AKU tumbuhkan daripada bumi walaupun sebutir benih dan AKU akan tuangkan atasmu azab yang sepedih-pedihnya”(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah)
Ujub terjadi apabila seseorang memperkecilkan dosa dan kesalahannya serta melupakan sebahagian besar daripadanya. Sikap meremeh dan ‘menyerang’ orang lain adalah salah satu aspek ‘ujub yang paling menonjol daripada sifat ‘ujub.
Sufyan at-Tsauri memberi peringatan tentang fenomena ‘ujub dengan mengatakan:
Sifat ‘ujub adalah kekaguman pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari saudaramu, pada hal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali ia lebih wara’ darimu terhadap perkara-perkara yang diharamkan Allah, dan lebih bersih amalannya.
Surah Al-Baqarah ayat 8-9 yang bermaksud bahawa – Dan di antara manusia ada yang berkata”Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya diri sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
Persoalannya kenapa kita perlu jadi Riya’ dan Ujub? Kenapa golongan Riya’ dan Ujub ini terlalu mudah menghukum seseorang itu sedangkan kuasa menghukum adalah dari Allah swt kecuali kesalahan yang nyata! Adakah kerana mereka ini terlalu tinggi ilmu agamanya atau telah terpedaya dengan belitan Iblis yang halus? Kenapa golongan terkeji ini terlalu mudah menilai seseorang itu melalui zahirnya sedangkan kita tak tahu kedudukan batiniah orang yang dikejinya itu disisi Allah swt. Adakah kerana mereka ini terlalu hebat mata hatinya atau terikut-ikut dengan mata hati Iblis. Fikir-fikirkanlah.
Kenapa mereka perlu berlagak dengan ilmu yang mereka ada sedangkan kita tahu bahawa semua ilmu datangnya dari Allah swt. Ilmu adalah satu pinjaman untuk kita gunakan sebaik-baiknya bukan asyik nak mendabik dada je. Ikutlah seperti resmi padi semakin ia berisi semakin tunduk. Kita kena ingat bahawa Iblis dan syaitan tak lupa walau sesaat untuk menyesatkan kita tetapi kita tiap-tiap hari terlupa Sang Iblis dan Syaitan ini. Kadangkala DIAM ITU adalah LEBIH BAIK daripada cakap yang bukan-bukan/merapu tak tentu pasal.
Walau apapun kepada Allah jugalah kita bermohon pertolongan supaya kita sentiasa berada di jalan yang diredhainya kerana ia bertepatan dengan surah Al-Fatihah ayat 5-6 yang bermaksud- “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus”
Berpesan biarlah dengan kebenaran. Berpeganglah kita dengan Al-Quran dan sucikan hati kita dengan mukjizat Al-Quran kerana bertepatan dengan Surah At-Takwiir ayat 27-29 yang membawa maksud : “Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam: Iatu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”.
Ikhlas dari hamba yang fakir disisi Allah.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Sepul Anuar




